Lelaki Malaysia kantoi seludup heroin pakai kontena jubin ke Australia

Warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia kerana cubaan menyeludup heroin

NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – TULAR di media sosial seorang lelaki warganegara Malaysia yang cuba untuk menyeludup dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke Australia ditahan di negara tersebut.

Jabatan Siasatan Narkotik (JSNJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang bekerjasama dengan Australian Federal Police (AFP) bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes penyeludupan heroin terbesar Australia, iaitu sebanyak 450 kilogram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, semua tindakan akan diambil PDRM untuk memastikan kegiatan pengedaran dadah dapat dibanteras sepenuhnya.

“Media melaporkan seorang warga Malaysia yang telah ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram heroin bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan.

“JSJN kini sedang bekerjasama dengan pihak AFP bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu” ujarnya.

Dadah yang dijumpai di dalam kontena jubin seramik

Pihak berkuasa Australia melaporkan dadah tersebut dikesan dalam kontena kapal yang mengandungi jubin seramik.

Pesuruhjaya Pemerintah Selatan Polis Persekutuan Australia, Krissy Barret berkata heroin tersebut dikesan di dalam kontena yang mengandungi jubin seramik dihantar dari Malaysia ke pelabuhan Melbourne.

“Namun kami masih sedang menyiasat sumber asal heroin tersebut.

“Hasil pengesanan mendapati 12,090 bungkusan heroin dijumpai di kontena berkenaan,” jelasnya.

AFP bersama rampasan dadah tersebut

Suspek didakwa mengimport dan cuba memiliki dadah kawalan dalam kuantiti besar untuk pengedaran komersial dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne.

Jika disabit kesalahan, hukuman maksimum adalah penjara seumur hidup.

-- BERNAMA | AWANI | 9NEWS AustraliaWide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan