Projek RM80.9 juta Lapangan Terbang Sandakan dijangka siap hujung tahun ini

Lapangan Terbang Sandakan


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – BAKI kerja untuk bahagian runway atau landasan adalah penyiapan kerja-kerja turapan.

Demikian kenyataan Kementerian Pengangkutan semasa memaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak setelah meninjau projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan.

Projek yang melibatkan kos RM80.9 juta itu kini mencapai kemajuan fizikal ditahap 73 peratus dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

Baki kerja-kerja adalah turapan termasuk penandaan landasan, pemasangan baki kerja akhir sistem lampu, peralihan peralatan kaji cuaca dan jarak visual landasan (RVR).

“Bagi kerja-kerja di bahagian jalan rayap, penyiapan kerja-kerja turapan termasuk penandaan landasan serta pemasangan baki kerja akhir bagi sistem lampu aeronautik,” jelasnya.

Selaras dengan Rancangan Malaysia ke-11, projek itu dilaksana dengan skop melibatkan pemanjangan landasan daripada 2,133 meter kepada 2,500 meter.

Pembinaan sambungan jalan rayap yang baharu, pelebaran kawasan parkir pesawat dan naik taraf peralatan navigasi penerbangan antara pembaharuan yang dilaksanakan dibawah projek tersebut.

Projek itu dilaksana selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan di Sabah, terutamanya Sandakan.

-- BERNAMAWide TV