Sabah catat kluster baru dari upacara pengebumian

Datuk Masidi Manjun


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – KLUSTER Kampung Alab Senagang, Tenom dikaitkan dengan aktiviti berkumpul semasa upacara pengebumian ahli keluarga, semalam.

Jurucakap Covid-19 negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata jangkitan daripada kluster tersebut dikesan selepas seorang wanita tempatan di Kampung Alab Senagang disahkan positif Covid-19 pada 14 Oktober lepas.

Dalam kenyataannya, penularan jangkitan disyaki berpunca daripada upacara pengebumian ibu mentua kepada kes indeks yang meninggal disebabkam Covid-19 pada 10 Oktober lalu.

“Jenazah ibu mentuanya dibawa balik ke Kampung Alab Senagang pada 11 Oktober dan seramai 20 ahli keluarga dilaporkan berkumpul ketika jenazah dibawa pulang ke rumah kes indeks.

“Namun, siasatan lanjut masih dijalankan”, ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata seramai 88 individu disaring berkaitan dengan kluster itu, dimana 50 daripadanya dikesan positif Covid-19, sehingga semalam.

Tambah beliau, keadaan negeri Sabah yang merekodkan kes sporadik Covid-19 tertinggi dengan sebanyak 265 kes, atau 41.4 peratus daripada 641 kes amat membimbangkan kerana keadaan itu menggambarkan kelalaian orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Jelas Masidi, mereka yang sudah menerima suntikan vaksin tidak terkecuali dari mematuhi SOP.

“Perlu diingatkan bahawa vaksin tidak memberi perlindungan 100 peratus daripada jangkitan, malah tiada vaksin untuk apapun penyakit yang memberi jaminan kekebalan 100 peratus”, katanya.

-- Harian Metro | Wide TV