Sabah rasmi pengambilan dos ketiga

Datuk Seri Hajiji menerima dos penggalak di majlis perasmian


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – DOS penggalak adalah tidak diwajibkan namun amat disarankan kerana ia akan mampu memberi sistem imun badan yang lebih tinggi.

Demikian ujar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di akaun Facebooknya berkenaan Majlis Perasmian Dos Penggalak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Dalam kenyataannya, beliau menjelaskan kepentingan dos penggalak untuk golongan yang diutamakan serta faedahnya terhadap sistem imunisasi badan.

“Dos penggalak merupakan suntikan ketiga vaksin bagi melengkapi dua dos vaksin sebelum ini.

“Dos penggalak ini akan diberi keutamaan kepada golongan barisan hadapan terlebih dahulu, diikuti dengan mereka yang dianggap sebagai golongan berisiko tinggi”, katanya.

Datuk Seri Hajiji semasa merasmikan majlis dos penggalak di SICC

Jelasnya,dos penggalak hanya berfungsi sebagai penambah kekuatan imun badan, tetapi ia tidak bermaksud dua dos sebelum ini tidak berkesan keatas individu.

Tambahnya lagi, dos ketiga tersebut hanya digalakkan kepada mereka yang telah lengkap menerima dua dos vaksin selepas tempoh enam bulan.

Beliau menyeru masyarakat untuk mengambil dos vaksin Covid-19 agar imuniti kelompok dapat dicapai dan seterusnya melindungi komuniti secara keseluruhannya.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri lll, Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan ll, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Tuan Haji Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato Dr. Zulkapli Mohamed. 

-- Wide TV