Trak vaksinasi untuk penduduk Sandakan

P. Maniam (kiri), Dr. Johari Awang Besar (tengah) dan Dr. Asits Sanna (kanan) didalam trak vaksinasi Covid-19


NURAIDAH MUHD TAHIR
admin@semarakniaga.com

SANDAKAN – PROJEK Penilaian Pantas dan Operasi Vaksinasi atau Rapid Assessment Vaccination Operation (RAVO) mengesan individu di kawasan pedalaman dan terpencil yang belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Projek tersebut digerakkan menerusi trak vaksinasi sumbangan daripada syarikat CepatWawasan Group Berhad, dimana Pengurus Besarnya, P. Maniam menyerahkan trak tersebut kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr. Johari Awang Besar.

P. Maniam berkata sumbangan trak tersebut merupakan inisiatif syarikat menunaikan tanggungjawab sosial korporat atau Corporat Social Responsibility (CSR) bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan kadar lengkap vaksinasi penduduk kawasan pedalaman.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Asits Sanna berkata selain vaksinasi dari rumah ke rumah, pemberian vaksin Covid-19 juga akan dilakukan didalam trak tersebut.

“Selepas RAVO ini, trak vaksinasi sumbangan CepatWawasan Group Berhad itu akan ditempatkan di Klinik Kesihatan Gum Gum”, ujarnya.

Menurutnya, antara penduduk yang belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 adalah warga emas yang uzur, Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang mengalami kekangan pergerakan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Tambahnya lagi, individu yang belum mendapatkan vaksin Covid-19 atau mempunyai pertanyaan tentang vaksin tersebut boleh menghubungi hotline Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di talian 019 605 1196.

“Golongan antivaksin juga boleh menghubungi talian hotline disediakan dan kami sedia membantu memberi penerangan kebaikan vaksin kepada mereka”, katanya.

-- Sinar Harian | Wide TV