AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my
amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - PERUNTUKAN tidak mencukupi dan terhad untuk kerja-kerja menyelenggara serta menaiktaraf jalan-jalan tertentu sahaja.
Faktor tersebut mengekang hasrat Kerajaan Negeri untuk membaik pulih jalan-jalan utama termasuk di kawasan luar bandar seperti di kampung-kampung dan ladang kelapa sawit.
Demikian penjelasan dibuat Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam perkongsian hantaran di Facebooknya semalam.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kekangan tersebut turut menyebabkan banyak aduan mengenai masalah jalan raya di negeri ini tidak dapat diselesaikan.
"Jalan Kampung, Jalan Kayu Balak dan Jalan Ladang Kelapa Sawit (antara kategori jalan) yang banyak mendatangkan masalah sebab jalan ini tidak berstatus dan terlalu sukar untuk diperbaiki sebab jalan-jalan seumpama ini tidak didaftarkan oleh pejabat daerah masing-masing kepada Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS).
"Dalam masa yang sama, bagi kategori 1 hingga 4 (merujuk kepada Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Majlis-Majlis Daerah dan Jalan Luar Bandar), peruntukan pun terhad di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Kementerian (Pembangunan) Luar Bandar (KPLB) Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah ada mengeluarkan peruntukan tetapi tidak mencukupi untuk dibelanjakan kepada semua jalan raya yang rosak atau pun yang memerlukan naik taraf kerana peruntukan terhad.
"Jadi kepada siapa-siapa yang tidak faham perkara ini, harap maklum dengan keadaan yang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada hantaran seorang pengguna facebook, RyNn Rina yang menyentuh mengenai kesukaran pekebun di Kudat mengeluarkan hasil tanaman mereka disebabkan masalah jalan yang teruk.
Menurut RyNn Rina, tidak ada gunanya bantuan yang banyak disalurkan kepada petani mahupun pekebun kecil di luar bandar jika jalan raya tidak dibaiki.
"Banyak macam mana pun bantuan kerajaan bagi... Kalau jalan yg tidak kena buat tiada guna.. Tiada kemajuan yg kita nampak tanpa jalan yg betul.
"Contoh pekebun di mana diorang mau jual hasil tanaman dan siapa yg mau dtg membeli kalau jalan begini teruk," menurut hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Bung berkata, beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan peruntukan bagi memperbaiki, menaiktaraf dan memastikan jalan raya di Sabah dapat diurus dengan baik.
Bagaimanapun, hasratnya untuk menyelesaikan masalah jalan raya di Sabah terbantut disebabkan masalah kewangan dan beberapa kekangan lain.
"Saya harap dengan penjelasan ini semua pihak perlu memahami keadaan sebenarnya.
"Selaku Menteri Kerja Raya Sabah, saya juga memahami masalah yang dihadapi oleh anda semua kerana di kawasan saya juga di Kinabatangan mengalami masalah yg sama," ujarnya.
-- Wide TV
0 Ulasan