Doa limpahan rezeki, syurga buat pewakaf

  Malai Ali (kanan) melihat geran tanah wakaf Taman Ar-Raudah Sapiyah sambil dijelaskan oleh Romzi (tengah) dan diperhatikan UMK (kiri) ketika melawat kawasan tersebut.

AMRULLAH ABDUL KARIM 
amrullah@semarakniaga.com.my 

SANDAKAN - TIDAK hanya mewakafkan tanah seluas lebih 11 ekar, malah pewakafnya turut menanggung kos membersih dan meratakan tanah yang telah diwakafkan sebelum dapat dibangunkan. 

Demikian mulianya hati pasangan suami isteri yang mewakafkan tanah mereka di Kampung Bim Bim, Batu 16, di sini bagi dua tujuan berbeza iaitu, taman perkuburan dan kompleks pengajian tahfiz al-Quran. 

Pujian dan doa itu dizahirkan sendiri Timbalan Yang Di Pertua, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ustaz Malai Ali Malai Ahmad ketika melawat kawasan tersebut hari ini. 

"Rupanya pewakaf ini bukan saja mewakafkan tanahnya, malah turut mengeluarkan kos untuk membersihkan kawasan yang luas ini sebelum diserahkan kepada pihak yang diamanahkan menguruskan tanah itu. 

"Tidak dibiarkan begitu saja, tapi diratakannya sekali," katanya ketika melawat tanah wakaf tersebut. 

Latarbelakang tanah wakaf Taman Ar-Raudah Sapiyah & Kompleks Aisynaufal MTNQDI

Turut serta, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan, Ustaz Romzi Abd Rahman bersama Pengerusi Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi (MTNQDI), Ustaz Mulyadi Kasimin (UMK). 

Dari kanan, UMK, Malai Ali & Romzi melihat tanah wakaf Taman Ar-Raudah Sapiyah & Kompleks Aisynaufal MTNQDI yang dalam proses dibersihkan serta diratakan.

Pada lawatan tersebut, Malai Ali menerima geran tanah bagi pewakafan taman perkuburan daripada UMK mewakili pewakaf, Hajah Sapiyah Amid. 

"Akhirnya sampai juga hajat ke mari melihat sendiri lebih dekat. 

"Kita doakan yang mewakafkan (tanah) ini murah rezekinya, di akhirat dapat syurga insyaAllah. Amanah ini saya ambil," ujarnya. 

Tambah Malai Ali, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif juga dijangka turun bagi melihat sendiri kawasan taman perkuburan dan kompleks tahfiz itu memandangkan beliau seorang yang rajin dan suka turun ke bawah bertemu penduduk. 

Sementara itu, UMK berkata, pewakaf tersebut adalah ibu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN - Dilantik) N50 Gum Gum, Datuk Suhaimi Nasir. 

Menurut UMK, taman perkuburan itu dinamakan sebagai Taman Ar Raudah Sapiyah, manakala kompleks tahfiz dikenali sebagai Kompleks Aisynaufal Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi. 

Dalam pada itu, dikhabarkan penduduk kampung sekitar termasuk Gum-Gum sudah mula bertanya mengenai jangkaan pembukaan Taman Ar-Raudah Sapiyah. 

Penduduk kampung seakan tidak sabar untuk memanfaatkan taman tersebut termasuk ramai diantara mereka yang ingin menghantar anak-anak menuntut di maahad tahfiz itu jika beroperasi kelak. 

-- Wide TV