GH Corner sumbang makan tiap hari


Serahan pek makanan Dapur Prihatin Bersama GISBH kepada AADK Sandakan

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my


SANDAKAN - SETIAP hari puluhan bungkusan makanan penuh dengan lauk pauk pasti akan keluar dari Restoran GH Corner Sandakan untuk diagihkan kepada warga Sandakan yang memerlukan.

Makanan tersebut merupakan sumbangan harian restoran milik syarikat GISB Holdings (GISBH) yang dilaksanakan menerusi program Dapur Prihatin Bersama (DPB).

Agihan makanan diberikan terus kepada kelompok masyarakat terdiri daripada frontliners, cleaners, pekerja kontrak serta sukarelawan.

Syahid Chek Khairil Anwar

Setiausaha GISBH Sabah & Sarawak, Syahid Chek Khairil Anwar berkata, program DPB bukan saja dilakukan di daerah ini malah dilaksanakan di semua cawangan GISBH seluruh dunia.

Katanya, hari ini sebanyak 20 pek makanan turut disumbangkan kepada Skuad Antidadah Daerah Sandakan yang dalam misi amal menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk di Pulau Bum Bum, Semporna.

Menurutnya, sumbangan itu sebagai bekalan makan tengah hari untuk semua sukarelawan bersama pegawai serta kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan yang turut serta dalam program Jejak Prihatin 3.0 di pulau tersebut.

"Sudah menjadi rutin harian kami sedekahkan pek makanan begini kepada penduduk Sandakan.

"Berpuluh pek makanan kami berikan untuk sesiapa saja yang kami temui sama ada sedang bertugas, bekerja mahupun melakukan aktiviti kesukarelawan," katanya kepada Wide TV selepas menyerahkan pek makanan di hadapan pejabat AADK Sandakan.

Sukarelawan Jejak Prihatin 3.0

Penyerahan sumbangan tersebut diwakili Pengurus Restoran GH Corner Sandakan, Zahrah Hasyim mewakili GISBH Sabah & Sarawak.

Pek makanan tersebut diserahkan kepada Ketua Pegawai AADK Sandakan, Aisyah Abdul Karim sebelum diberikan kepada Pengerusi Skuad Antidadah Sandakan, Alden Martinez.

Alden memberikan taklimat sebelum bertolak ke Semporna 

Sementara itu, Alden menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada GH Corner Sandakan di atas sumbangan yang diberikan.

Katanya, sumbangan makanan tersebut sedikit sebanyak menampung keperluan sukarelawan yang berada dalam perjalanan melaksanakan misi bantuan prihatin tersebut.

Mengulas mengenai program Jejak Prihatin 3.0 Alden berkata, program tajaan UstazUstazah.Com & Charity for Humanity itu merupakan siri ketiga digerakkan Skuad Antidadah Sandakan dan kali pertama merentasi sempadan daerah Sandakan.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan