amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - KANAK-KANAK 11 tahun yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Corolla yang bertembung pacuan empat roda Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Beluran, petang semalam merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manila.
Sumber tersebut dipetik daripada mesej yang tular di media sosial mengatakan adik Nur Danisha Saberdin, Tahun 5 Arif meninggal dunia dalam nahas jalan raya itu.
Menurut sumber itu lagi, adik arwah yang turut terbabit dalam kemalangan itu kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Duchess of Kent (HDOK) dan meminta orang ramai mendoakan kesembuhannya.
"SK Sungai Manila hari ini ingin memaklumkan khabar duka bahawa seorang murid Tahun 5, Adik Nur Danisha Saberdin telah kembali kerahmatullah dalam kemalangan di Beluran petang semalam.
"Marilah sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah dan mendoakan adik arwah yang sedang dirawat di ICU Hospital Sandakan diberikan kesembuhan secepatnya." Kata sumber tersebut.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5.18 petang di Jalan Beluran Saturan itu, Toyota Corolla dinaiki mangsa bersama tiga yang lain terputus dua manakala pacuan empat roda milik KKM terbabas ke dalam longkang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, seorang daripada penumpang kereta terbabit tersepit manakala tiga yang lain mengalami kecederaan.
-- Wide TV | Utusan.Com