admin@semarakniaga.com
SANDAKAN - TULAR baru-baru ini sebuah video di aplikasi Tiktok yang menunjukkan etnik Bajau Laut diperlakukan seperti 'binatang ternak'.
Di dalam video berkenaan seolah-olah menunjukkan satu tindakan menghina etnik Bajau Laut dengan menjadikan etnik berkenaan seperti haiwan di dalam zoo.
Kepal-kepal makanan, dibuang ke bawah dan diberikan kepada seorang kanak-kanak Bajau Laut yang menunggu di bawah lalu mengutipnya serta latar muzik Islamik antara kandungan dalam video Tiktok berkenaan.
Muhamad Na'im Ab Razak yang telah bergiat aktif dalam program kemasyarakatan di pulau-pulau Sabah, telah menyuarakan satu pandangan berkenaan berhubung video berkenaan.
"Sorry! Saya sensitif tengok video begini sebab dah jadi satu trend para pelancong datang buat benda-benda begini," katanya melalui satu posting di Facebook.
Resort berpagar ataupun mana-mana resort yang tidak membenarkan memberikan makanan kepada mereka bukanlah satu alasan menurut Na'im untuk para pengunjung hingga susah memberi makanan secara baik kepada mereka.
"We need to empower the sea gypsies communities and not treating them like a dog", tambah Na'im lagi.
Ramai yang memberikan reaksi terhadap video berkenaan sehingga mengongsikannya di media sosial lain.
Jefry Musa juga antara pengguna media sosial yang memberikan kutukan keras kepada tindakan di dalam video berkenaan.
"Saya adalah cikgu yang mendidik anak-anak Bajau Laut.
"Setiap hari saya mendoakan agar terdapat neraka khas buat pelancong yang membuat komuniti Bajau Laut seperti melawat binatang di taman safari atau zoo", kata Jefry melalui perkongsiaanya di Facebook.
Sebagai makluman, memang benar kehidupan etnik Bajau Laut ini bukan semewah seperti standard ukuran kekayaan penduduk moden.
Namun, etnik ini mampu makan seafood yang lebih mahal harganya berbanding ikan kembung yang kita makan setiap hari.
Pihak berwajib disaran mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu etnik ini seperti melakukan transformasi pendidikan, sosial dan pemerkasaan dari segi hak selaku penduduk asli di laut.
-- Wide TV