UMK pimpin imam-imam Sandakan

UMK (tengah) mempengerusikan PIIDS 

AMRULLAH ABDUL KARIM 
amrullah@semarakniaga.com.my 

SANDAKAN - IMAM Karyah Masjid Nurussyakirin, Ustaz Mulyadi Kasimin (UMK) diberi kepercayaan menerajui kepimpinan utama Persatuan Imam-Imam Daerah Sandakan (PIIDS).

Sebagai Pengerusi PIIDS, UMK optimis menggalas dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh seluruh imam-imam masjid di daerah Sandakan.

Memetik entri beliau di Facebook Al-Faqir Abu Samah As-Sandakani, UMK menzahirkan rasa syukur dan mengharapkan kerjasama para imam bagi merealisasikan matlamat persatuan itu.

UMK

“Telah mendapat mandat untuk menerajui kepimpinan sebagai Pengerusi Persatuan Imam-Imam Daerah Sandakan. 

“Menggalas tugas sebagai Pengerusi bukanlah suatu kebanggaan tapi ianya amanah yang amat berat untuk dipikul.

“Semoga kesatuan dan permuafakatan imam-imam di bumi Sandakan terus kukuh di atas landasan Manhaj Rabbani Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) untuk meneruskan legasi dakwah Baginda Rasulullah SAW di bumi Sandakan khasnya,” katanya.

Mengulas lanjut ketika dihubungi Wide TV, UMK berkata, PIIDS telahpun merangka beberapa aktiviti dan program berkaitan pengimarahan masjid serta penglibatan imam-imam dalam mendekati ahli karyah atau komuniti setempat.

Menurutnya, antara program yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat adalah Semarak Mahabbah Rasulullah SAW; ‘Kami Merindui Mu’.

“Program berbentuk forum ini akan melibatkan semua lebih 60 masjid di daerah Sandakan.

“Pelaksanaannya juga melibatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sebagai usaha kesepaduan antara NGO dengan institusi masjid,” katanya.

Tambahnya, forum tersebut bakal mengangkat dan menampilkan penceramah lokal dan berpengaruh di Sandakan. 

Ujarnya, menerusi jalinan rangkaian media sosial bersama Wide TV, Semarak Mahabbah juga bakal disiarkan secara langsung di beberapa masjid yang mempunyai liputan internet atau rakaman siaran tersebut.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan