amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - IMAM-IMAM harus memiliki keterampilan dan kewibawaan sebagai penceramah dalam majlis-majlis ilmu.
Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan, Ustaz Romzi Rahman berkata, imam-imam perlu tampil sebagai penceramah dalam slot atau program dakwah yang dirangka dan dianjurkan di masjid-masjid dalam daerah Sandakan.
Menurutnya, langkah itu wajar diambil dan dilakukan bagi memperlihatkan kepada ahli kariah serta seluruh masyarakat mengenai kemampuan para imam sebagai pemimpin bukan saja dalam urusan ibadah solat, malah setiap ruang lingkup keperluan serta tanggungjawab di dalam institusi masjid.
"Biar imam-imam di Sandakan mendepani dan mendahului setiap perubahan ke arah kebaikan.
"Berketerampilan sebagai penceramah dalam majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid sekitar Sandakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat kali kedua Persatuan Imam-Imam Daerah Sandakan (PIIDS) di Bilik Mesyuarat JHEAINS hari ini.
Turut serta, Pengerusi PIIDS, Ustaz Mulyadi Kasimin (UMK) bersama Ahli Jawatankuasa PIIDS.
Romzi berkata, JHEAINS mahu melihat jawatankuasa PIIDS dapat menjadi pencetus paradigma imam-imam masjid seluruh Sandakan.
"Saya berharap semoga keakraban dan keaktifan jawatankuasa ini dapat merealisasikan hasrat serta matlamat penubuhan persatuan imam-imam ini," ujarnya.
Beliau turut meletakkan tanggungjawab kepada Wide TV sebagai pengendali media sosial yang berperanan menjadi medium hebahan utama kepada usaha murni itu.
Tambahnya, segala perancangan program yang telah dirangka dan dipersetujui bakal dipertontonkan kepada masyarakat dalam bentuk digital sesuai dengan amalan norma baharu.
-- Wide TV
0 Ulasan