Pandang usaha Skuad Antidadah Sandakan

Suhaimi (dua, kanan) beramah mesra bersama penduduk.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN – SKUAD Antidadah Daerah Sandakan dilihat antara badan sukarelawan yang agresif dalam melaksankan aktiviti serta program di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Datuk Suhaimi Nasir berkata, perkara itu berdasarkan kesan dan maklumbalas masyarakat yang merasai sendiri kehadiran sukarelawan tersebut.

Bagaimanapun, beliau difahamkan pergerakan Skuad Antidadah terbatas dan menghadapi kekangan disebabkan ketiadaan dana.

“Difahamkan Skuad  Antidadah hadapi kekangan.

“Saya lihat mereka ini terlalu laju dan agresif.

“Sayang sekali bila sukarelawan seperti ini tersekat,” katanya kepada Wide TV.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Libaran mahu Skuad Antidadah terus dipandang dan diberi ruang oleh pihak berkaitan seterusnya dibantu dari sudut keperluan dana.

Menurutnya, sokongan akan terus diberikan bagi memastikan aktiviti yang turut membawa mesej kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Skuad Antidadah ini ada banyak klaster termasuk Klaster Prihatin, jadi bukan saja mesej bahaya dadah itu disebarkan, malah sukarelawan ini masuk ke dalam masyarakat untuk didekati seterusnya dibantu.

“Bukan sedikit peranan mereka. Saya lihat besar dan mampu memberi impak yang sesuai dengan matlamat penubuhannya,” katanya.

Kempen Jejak Prihatin 2.0 ke Pulau Bum Bum, Semporna anjuran Skuad Antidadah Sandakan yang mendapat sumbangan daripada Suhaimi.

Suhaimi turut melihat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kelab-kelab yang kurang aktif, tetapi mereka berpeluang untuk menggerakkan peranan dengan bantuan dana daripada sumbangan pelbagai pihak.

Namun, katanya berbeza dengan Skuad Antidadah yang langsung tidak mempunyai kemampuan dari segi itu sehingga mengekang aktiviti sukarelawan yang bernaung di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Sudah aktif skuad ni, jadi perlu dipandang.

“Fungsi yang telah digerakkan perlu disokong secara berterusan,” ujarnya.

Bantuan bakul makanan diberikan kepada 100 penduduk Kampung Bum Bum, Semporna.

Terdahulu, Suhaimi menghulurkan sumbangan kepada Pengerusi Skuad Antidadah Sandakan, Alden Martenez untuk melaksanakan program amal, Kempen Jejak Prihatin 2.0 bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan di Pulau Bum Bum, Semporna.

Program anjuran Skuad Antidadah itu turut mendapat sumbangan penuh daripada UstazUstazah.Com dan Charity for Humanity dalam bentuk barangan keperluan asas untuk disumbangkan kepada 100 keluarga yang kurang berkemampuan di pulau tersebut.

Alden Martenez

Sementara itu, Alden berkata, Skuad Antidadah telah merangka pelbagai program selepas Sabah beralih kepada fasa yang membenarkan aktiviti secara fizikal.

Menurutnya, program tersebut akan menyentuh semua teras kehidupan berkaitan sosial, kebajikan, belia, wanita termasuk warga emas serta melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

"Saya juga mengharapkan penyertaan lebih ramai belia dalam Skuad Antidadah agar matlamat yang ingin kita laksanakan tercapai," katanya. 

-- Wide TV 

Catat Ulasan

0 Ulasan