Tuntut kerjasama semua imam-imam

 

Forum Mahabbah Rasulullah SAW

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my 

SANDAKAN – KEJAYAAN siri pertama Jelajah Imam Mahabbah Rasulullah SAW yang berlangsung di Masjid Daerah Sandakan semalam, menjadi penanda aras kepada keberhasilan penganjuran siri-siri berikutnya.

Kesepakatan dan komitmen yang ditunjukkan Jawatankuasa Imam-Imam Daerah Sandakan (JIIDS) jelas menunjukkan inisiatif program seumpama itu mampu digalas serta dilaksanakan biarpun dalam keadaan yang masih menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun, kejayaan itu menuntut kerjasama dan sokongan berterusan seluruh imam karyah serta jawatankuasa masjid-masjid untuk memastikan pengimarahan ‘rumah-rumah Allah’ menerusi pengisian ilmiah dan sirah Rasulullah SAW dapat diteruskan.

Awang Damit Abdul Rahim

Ketua Daerah, Mahkamah Anak Negeri Sandakan, Awang Damit Abdul Rahim berkata, halangan dan ujian pasti wujud ketika melaksanakan sesuatu program terutama sekali apabila melibatkan perancangan yang besar.

“Sudah pasti perkara-perkara kebaikan seperti ini akan ada halangan... halangan yang boleh menyebabkan sesuatu penganjuran itu kurang mendapat sambutan.

“Tapi jangan dijadikan alasan dengan kurangnya jemaah hadir untuk tidak meneruskan usaha murni ini. Sebaliknya terus sampaikan syiar dan dakwah kepada masyarakat kita khususnya di daerah Sandakan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Program Jelajah Imam Mahabbah Rasulullah SAW.

Beliau mewakili Ketua Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan, Ustaz Romzi Abd Rahman.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi JIIDS yang juga Imam Masjid Taman Fajar, Ustaz Hassan Basli Bunak mewakili Pengerusi JIIDS, Ustaz Mulyadi Kasimin (UMK).

Awang Damit turut memuji kejayaan penganjuran sulung jelajah imam-imam dengan pengisian forum tersebut, walaupun JIIDS baru sahaja dibentuk kurang daripada sebulan.

Antara jemaah yang hadir pada Forum Mahabbah Rasulullah SAW di Masjid Daerah Sandakan.

“Mudah-mudahan pertemuan ini mendapat rahmat daripada Allah SWT serta kita mendapat syafaat daripada baginda Rasulullah SAW.

“Semoga dengan majlis ini dan ilmu-ilmu yang akan dilontarkan oleh para ahli panel yang terdiri daripada imam-imam dapat kita teladani sepanjang masa,” katanya.

Ujar beliau lagi, Jelajah Imam Mahabbah Rasulullah SAW akan dikembangkan ke seluruh karyah di Sandakan dan menuntut kerjasama berterusan daripada imam-imam serta jawatankuaasa masjid-masjid, seterusnya penglibatan masyarakat dalam setiap program yang dilaksanakan.

“Oleh itu, kita mohon kepada masyarakat dan imam-imam untuk sama-sama memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada jawatankuasa imam-imam daerah Sandakan ini untuk hadir bersama-sama menyemarakkan program-pogram yang akan diadakan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Kupasan topik sirah Rasulullah SAW

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan