SANDAKAN - CAJ pembentungan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya Sabah bagi memastikan sistem pembetungan berada di tahap terbaik.
Menteri berkenaan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, undang-undang bagi tujuan itu akan digubal untuk menyatukan bil pembetungan dengan bil air.
"Di Sabah, kita belum ada akta untuk pungutan pembayaran pembetungan, kita akan sampai ke tahap itu satu hari nanti", katanya semalam selepas merasmikan satu majlis pecah tanah.
"Pembetungan teramat penting sebab mana-mana tempat di dunia, keutamaan mereka ialah kesihatan", tambahnya lagi.
Beliau juga berkata caj itu nanti tidak akan terlalu mahal sehingga membebankan rakyat, namun rakyat juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan bersama terpelihara.
Bung juga berkata bahawa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri perlu melihat bagaimana kaedah itu boleh dipanjangkan ke perkampungan atas air.
Hal ini sama ada memberikan kesedaran mengenai kesihatan dan kebersihan kepada masyarakat atau menggalakkan rumah menggunakan tandas dengan sistem perpaipan yang boleh menyalurkan kumbahan ke sistem pembetungan.
Projek itu, yang bernilai RM221 juta, dijangka siap pada 2025 dan memanfaatkan kira-kira 70,000 penduduk.
-- Wide TV | BERNAMA