Asmawi (kiri) ketika mengadakan pertemuan bersama Pandikar Amin.
AMRULLAH ABDUL KARIM amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - TERUS perkukuhkan parti menerusi ikatan dan kesefahaman antara ahli serta kepimpinan bermula dari akar umbi hinggalah ke peringkat pusat.
Pendekatan itu diyakini mampu memperkasakan Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) sekali gus menjadikan parti itu terus relevan dan sudah pasti mendapat sokongan rakyat.
Penyelaras USNO Bahagian Libaran, Dato' Haji Asmawi Haji Asa berkata, sudah sampai masanya untuk USNO memperlihatkan kemampuan dalam membentuk penyatuan bukan saja di kalangan ahli parti malah rakyat Sabah keseluruhannya.
"Kita membawa pendekatan yang lebih segar sesuai dengan kehendak rakyat, memenuhi segala keperluan mereka dan memastikan permasalahan dihadapi rakyat dapat ditangani sebagiknya.
"Mesej kita jelas ke arah memartabatkan bangsa Sabah," katanya kepada Wide TV.
Asmawi berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membincangkan hala tuju parti serta merencana program jelajah Pantai Timur Sabah melalui pendekatan mesra rakyat bersama pemimpin.
Menurutnya, pelbagai pengisian aktiviti yang bersesuaian bakal dilaksanakan sepanjang jelajah itu berlangsung.
"Perjumpaan saya bersama Tan Sri untuk bersama dalam perjuangan USNO demi memartabatkan bangsa Sabah.
"Saya berkeyakinan USNO bakal menerajui kerajaan Sabah pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang diadakan selewatnya tahun depan," ujarnya.
Beliau berkata, USNO sememangnya bersama di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong dasar kerajaan negeri.
Mengikut rekod, USNO memiliki 12 bahagian parti iaitu Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Libaran dan Semporna.
-- Wide TV
0 Ulasan