amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - BALU seorang guru antara yang dikuarantin setelah menjadi kontak rapat daripada kalangan keluarga terdekat yang disahkan positif Covid-19 di Taman Tyng, di sini.
Marliana Radin yang merupakan isteri kepada Almarhum Amir Dagang terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kami disahkan positif disebabkan kami kontak rapat dari keluarga terdekat.
"Jadi kami ada simptom terus pergi klinik untuk sahkan positif dan dapat surat kuarantin terus," katanya kepada Wide TV.
Melihat kepada keadaan dan keperluan Marliana selain mengenang jasa Almarhum suaminya, Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) Bahagian Libaran hadir menyampaikan sumbangan keperluan asas.
Penyelaras USNO Bahagian Libaran, Dato' Haji Asmawi Haji Asa berkata, sumbangan yang disampaikan Ahli Jawatankuasa (AJK) USNO itu bagi meringankan sedikit beban ditanggung sepanjang tempoh kuarantin memandang mereka tidak dibenarkan keluar.
"Kita terpanggil untuk menghulurkan sumbangan selepas mendapat tahu puan Marliana dikuarantin kerana menjadi kontak rapat keluarga mereka yang positif Covid-19.
"Beliau antara senarai yang perlu menjalani kuarantin di rumah.
"Jadi diharap sumbangan yang tidak seberapa ini dapat menggembirakan keluarga puan Marliana," katanya.
Antara yang hadir menyampaikan sumbangan tersebut, Ketua Wanita USNO Bahagian Libaran, Ustazah Aida Royana Abdul Rani dan AJK USNO Suriahni Samberani.
Asmawi berkata, USNO akan terus mendekati rakyat menerusi jalinan silaturahim dan dalam masa yang sama memperjelaskan mengenai perjuangan sebenar parti.
Tambahnya, banyak program sedang dirangka dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat yang diyakini mampu memberi manfaat kepada rakyat khususnya di kawasan Libaran.
-- WIDE TV
0 Ulasan