amrullah@semarakniaga.com.my
SANDAKAN - BAZAAR Biskut Raya - Sejati Walk menjadi platform bagi usahawan kecil yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan dan pemprosesan biskut, memasarkan produk mereka.
Bukan dua atau tiga hari, bukan juga seminggu atau dua minggu, tetapi peluang dan paltform yang disediakan dapat diisi selama sebulan di sepanjang Ramadhan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, paltform tersebut diyakini mampu mengangkat nama usahawan dengan jenama mereka sendiri dan mempromosikan produk menerusi ruang digital.
"Saya bersyukur kerana pihak penganjur dapat merealisasikan program ini untuk penduduk Libaran.
"Ini bukan saja untuk manfaat dari segi sosial tapi mengembangkan ekonomi khusus kepada usahawan kecil.
"Kemahiran mereka dari segi pembuatan biskut terbukti mampu memberikan peluang pendapatan dengan penglibatan mereka berniaga di dalam bazaar biskut raya selama satu bulan," katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Bazaar Biskut Raya (BBR) di Sejati Walk.
Hadir sama di majlis itu, pelakon dan selebriti, Datuk Adi Putra, Peguambela dan Peguamcara, Rowiena Rasid, ADUN N.51 Sungai Manila, Mokran Ingkat dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.52 Sungai Sibuga, Berahim Nasip.
Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedict Asmat, Timbalannya, Harun Ariffin dan Penolong Pengarah II, Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Sandakan, Kapten Muhammad Ridzuan Abdul Naseer.
Suhaimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata, beliau mahu melihat usahawan-usahawan kecil di kawasan Libaran meneroka lebih banyak peluang serta memanfaatkan sepenuhnya ruang digital untuk melonjakkan jenama dan jualan produk yang diusahakan.
Katanya, pendekatan yang digunakan penganjur BBR dengan mencetak imej usahawan, memperkenalkan produk dan mempromosikan jualan di media sosial sangat bertepatan dengan era digital.
Sementara itu, penampilan Adi Putra di pentas LIVE MIC BBR menjadi elemen promosi paling berkesan kepada usahawan terlibat apabila beliau berjaya menarik perhatian pengunjung untuk datang dan membeli produk jualan mereka.
Adi Putra juga berkongsi beberapa tips mengenai kaedah pemasaran terbaik iaitu dengan memaksimakan penggunaan media sosial antaranya, TikTok, Instagram, Facebook, YouTube dan Twitter.
Siaran LIVE MIC itu dapat diikuti menerusi Facebook Wide TV dan Sandakan Viral Kini.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur BBR, Alden Martenez ketika ditemui berkata, pendekatan yang digunakan di dalam bazaar tersebut bersesuaian dengan keperluan dan permintaan dalam pasaran ketika ini.
Menurutnya, usahawan juga perlu berani tampil dengan imej lebih terbuka dan hadir di dalam platform media sosial bagi membina kepercayaan pelanggan terhadap mereka.
-- WIDE TV
0 Ulasan