PBRS mampu gugat kedudukan pembangkang

 

Arthur (kiri) berkata sesuatu kepada Fazil selepas Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Bahagian PBRS N53 Sekong, Parlimen Batu Sapi.

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

SANDAKAN – SEDAR kawasan Parlimen Batu Sapi dan Parlimen Sandakan milik pembangkang, namun sedikitpun tidak melemahkan semangat parti komponan Barisan Nasional (BN) khususnya Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk mengekalkan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Malah, BN berkeyakinan masih terdapat penyokong tegar yang bakal membawa gelombang sokongan baru terutama kepada parti lokal di kawasan tersebut.

Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, usaha menarik sokongan rakyat terhadap BN akan digerakkan secara menyeluruh menerusi khidmat ketua-ketua bahagian serta seluruh jawatankuasanya.

“Walaupun ini kawasan pembangkang, masih ada penyokong-penyokong PBRS dan BN yang ingin mengikuti dan menyertai parti-parti lokal seperti PBRS dan BN dalam kerajaan.

“Maka melalui ketua bahagian ini kita dapat memberi perkhidmatan kepada mereka yang ingin mengikuti BN,” katanya.

Arthur ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Bahagian PBRS N56 Tanjung Papat, Parlimen Sandakan dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Bahagian PBRS N53 Sekong, Parlimen Batu Sapi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bahagian PBRS N56 Tanjung Papat, Parlimen Sandakan dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Bahagian PBRS N53 Sekong, Parlimen Batu Sapi.

Pada majlis tersebut, Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia turut meluangkan masa beramah mesra bersama pemimpin parti komponan BN yang hadir berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dalam Parlimen Sandakan.

Hadir sama, Ketua Bahagian PBRS N53 Sekong, Mohd Fazil Ajak dan Ketua Bahagian N56 Tanjung Papat, Alvis Loo Mun Yew.

Dalam pada itu, ditanya mengenai persediaan calon PBRS untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Arthur berkata, perbincangan mengenai calon akan dibuat dalam masa terdekat.

“Soal calon semua itu kita akan bincang dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sementara itu, Fazil berkata, biarpun menyedari sokongan komuniti Cina di Batu Sapi cenderung kepada pembangkang sebelum ini, namun beliau berkeyakinan PBRS mampu membawa perubahan di kawasan tersebut.

Keyakinan itu disuarakan berdasarkan pencapaian yang dicatatkan PBRS di negeri Sabah sebelum ini.

Mohd Fazil Ajak

“Kita sedar bahawa pengundi-pengundi di kawasan Sekong dan juga Karamunting, Cina ini lazimnya berpihak kepada pembangkan sebelum ini.

“Tetapi saya melihat bahawa dengan kehadiran PBRS ini untuk pertama kali dalam sejarah Parlimen Batu Sapi mampu membawa perubahan.

“Mereka (kaum Cina) sebenarnya telah memberi satu isyarat yang positif terhadap kehadiran parti PBRS di Parlimen Batu Sapi ini khususnya di Sekong.

“Ini adalah kerana pencapaian dan track record parti PBRS cukup cemerlang khususnya di Parlimen Pensiangan yang merupakan kawasan Presiden PBRS dan atas semangat itu kepercayaan masyarakat Cina saya dapat lihat begitu tinggi,” ujarnya.

Fazil (kanan) menerima watikah pelantikan Ketua PBRS Bahagian Sekong daripada Arthur.

-- Wide TV

Catat Ulasan

0 Ulasan