amrullah@semarakniaga.com
HULU YAM - MANA pergi pemimpin yang lantang bersuara mahu membela nasib rakyat, tapi buta sehingga sanggup membiarkan rakyatnya hidup tersisih tanpa bekalan elektrik dan air selama lebih 30 tahun?
Warga emas yang hidup sebatang kara di sebuah bangunan terbiar di Hulu Yam Bharu di sini menjadi bukti 'kelentong' pemimpin yang gagal membela nasibnya selama ini.
Lim Kim Ching, 70, terpaksa hidup menumpang di dalam bangunan terbiar di atas tanah milik persendirian di kawasan ini sejak 30 tahun lalu tanpa bekalan elektrik dan air.
Lim terpaksa memasang sendiri atap tempat tinggalnya dan menutup dinding bangunan terbiar itu daripada bahan buangan dan serpihan papan serta kayu terbiar.
"Air tidak ada, api (elektrik) pun tidak ada... sangat susah.
"10 tahun saya hidup dalam rumah gelap," katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Lim, rumahnya pernah menerima bekalan elektrik di atas ehsan jirannya yang sanggup berkongsi dengannya namun telah lama dipotong menyebabkan Lim hidup bergelap.
Lim yang hanya mendapat hasil daripada penjualan kotak, plastik dan tin kosong yang dikutip setiap hari mengakui kehidupan yang dilaluinya sangat sukar.
Biarpun pernah berumah tangga, namun dia tidak menyangka kehidupannya menjadi sedemikian rupa selepas ketiadaan isteri dan anaknya.
Bagaimanapun, Lim merasa gembira apabila nasibnya mendapat perhatian Pengerusi Kumpulan SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang datang menziarahinya sambil menghulurkan bantuan.
Dr Sathia datang bagi melihat sendiri keadaan Lim dan menghulurkan bantuan kewangan, barangan makanan, keperluan harian, peralatan dapur dan kelengkapan lain seperti baldi, penyapu, sabun cuci dan banyak lagi.
"Dr. yang datang melawat saya di sini. Saya sangat suka dia datang.
"Dr Sathia sangat baik dan saya dapat rasa kebaikannya," katanya.
Menyedari Lim tidak sihat, Dr Sathia turut memberikan bekalan ubat kepadanya.
"Saya ada demand sikit... doktor terus bagi saya ubat.
"Saya sangat berterima kasih dengan doktor sebab dia baik datang melawat saya dan bagi saya ubat," tambahnya.
Sementara itu, Dr Sathia berkata, beliau mengakui terkejut selepas mendapat tahu masih ada lagi rakyat di Selangor yang hidup tanpa rumah dan bekalan elektrik serta air.
Katanya, tanpa berfikir panjang beliau terus menyediakan semua barangan keperluan untuk diberikan sendiri kepada Lim.
Malah, beliau akan berusaha mendapatkan pembelaan terhadap nasib warga emas tersebut.
-- WIDE TV
0 Ulasan