amrullah@semarakniaga.com.my
HULU SELANGOR - DUA rumah didiami warga tempatan dan Indonesia musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Dahlia 4 dekat Kampung Seri Serendah di sini lewat malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 11 malam itu disedari penyewa rumah terbabit warga Indonesia sebelum bertindak menyelamatkan diri.
Mangsa dan beberapa penduduk kampung cuba memadamkan kebakaran namun gagal kerana api marak dengan cepat.
Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu yang tiba di lokasi selepas mendapat maklumat kejadian itu berjaya memadam kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang turun ke lokasi kejadian memberitahu, difahamkan terdapat tiga keluarga warga Indonesia menyewa salah sebua di rumah yang terbakar.
Namun katanya, kesemua mangsa telah menyelamatkan diri sebelum kejadian itu memusnahkan kediaman mereka.
"Saya difahamkan sebaik saja menyedari kebakaran berlaku penghuni rumah terbabit telah lebih awal keluar menyelamatkan diri.
"Penghuni di rumah bersebelahan juga sempat berlari keluar.
"Kemungkinan selain dua rumah itu musnah terdapat juga kenderaan milik mangsa rentung dalam kebakaran tersebut," katanya.
Beliau berkata, kejadian yang berlaku berhampiran Pangsapuri Seri Cempaka Serendah itu telah memusnahkan hampir seratus peratus rumah terbabit.
Dr Sathia yang bersimpati dengan nasib keluarga mangsa turut menyatakan kesediaannya membantu keperluan mereka.
Dalam pada itu, berdasarkan video yang tular di media sosial operasi memadam kebakaran itu turut memaksa anggota bomba menggunakan bekalan air daripada pili bomba di Pangsapuri Seri Cempaka.
Api akhirnya berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya beberapa minit kemudian.
-- WIDE TV
0 Ulasan