amrullah@semarakniaga.com
SERENDAH – ISTILAH 'pendatang baru' bukan lagi isu mahupun halangan untuk mencipta kemenangan dan meletakkan diri sebagai ketua atau pemimpin.
Segalanya boleh berlaku terhadap pendatang baru itu asalkan perjuangannya telus dan benar-benar mahu membawa perubahan di dalam parti.
Mungkin itulah tuah bagi Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan apabila diberi mandat oleh seluruh ahli parti pada pemilihan cabang yang berakhir semalam.
Dr Sathia menang dengan undi yang cukup selesa sebanyak 1,903 dan itulah bukti perubahan awal yang beliau bawa bermula sebagai calon dan kini memegang gelaran Ketua Cabang.
Selepas ini sudah pasti Dr Sathia akan menunaikan segala hasrat dan perancangannya untuk merangsang kebangkitan baru buat seluruh rakyat Hulu Selangor sesuai dengan slogan dan hashtag beliau #BangkitHuluSelangor.
Kini, Dr Sathia perlu buktikan kepada seluruh ahli PKR bahawa beliau adalah pemimpin selayaknya diberi tanggungjawab menggalas amanah sebagai Ketua Cabang dan memimpin parti untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Sementara itu, dalam keputusan penuh pemilihan PKR Cabang Hulu Selangor turut menyenaraikan pemimpin lain dalam 'line up' Dr Sathia yang memenangi pemilihan tersebut.
Mereka adalah Timbalan Ketua Cabang, Saifuddin Shafi Muhammad memperoleh 1,851, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ameerul Fikri Norzazli (292), Timbalan Ketua AMK, J Kalaichelvan (318), Naib Ketua AMK Cabang, Nang Suranee Soom Chok Abdullah (310), Ketua Wanita Cabang, Hayati Chat (799), Timbalan Ketua Wanita Cabang, K.R Malathi (749) dan Naib Ketua Wanita Cabang, Meri Liew Pong (733).
-- WIDE TV
0 Ulasan