Mangsa banjir bertambah - PPS SK Kerling dibuka

  

PPS SK Kerling dibuka.

AMRULLAH ABDUL KARIM 
amrullah@semarakniaga.com.my 

KUALA KUBU BHARU - PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Kerling terpaksa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kerling berikutan pertambahan jumlah mangsa banjir. 

Sehingga jam 9.30 malam tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 24 orang daripada hanya sembilan orang sebelumnya. 

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Hanafe Basri berkata, pertambahan jumlah mangsa yang mendaftar melebihi kemampuan PPS di Sekolah Rendah Agama (SRA) Syed Mashyhur

"Situasi peningkatan pada sebelah malam ini berlaku kerana kebanyakan mereka mengambil peluang membersihkan kediaman masing-masing terlebih dahulu setelah air surut dengan cepat. 

"Walau bagaimanapun, ketiadaan bekalan elektrik serta harta benda yang telah rosak menyukarkan mangsa-mangsa untuk bermalam, memasak dan menguruskan keperluan asas yang lain dengan sempurna," katanya. 

PPS SRA Syed Masyhur ditutup.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, semua agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan agensi lain sentiasa bersedia bagi memastikan setiap keperluan, kebajikan, keselamatan serta kesihatan mangsa diambil perhatian sebaiknya. 

-- WIDE TV | Jabatan Penerangan Hulu Selangor

Catat Ulasan

0 Ulasan