amrullah@semarakniaga.com
HULU SELANGOR - LEBIH kurang 60 keluarga terjejas akibat banjir kilat yang melanda tiga buah kampung di Kerling hari ini.
Kampung Jawa, Kampung Pasir, Ladang Sungai Dua Kerling antara yang terjejas teruk akibat bencana alam itu.
Penduduk Kampung Pasir, Norlita Ahmad, 53, berkata rumahnya mula dinaiki air sekitar jam 2 petang tadi sehingga hampir menenggelamkan rumahnya.
"Air naik terlalu pantas sampaikan tak sempat selamatkan apa-apa.
"Makcik terpaksa cepat-cepat keluar selamakan diri ke tempat tinggi," katanya ketika di temui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kerling.
Selain Norlita, sebuah lagi keluarga turut ditempatkan di PPS tersebut.
Menurut Fatihah Shahrin, 23, dari Kampung Jawa, hujan mulai turun sejak jam 11 pagi dan banjir melanda perkampungan mereka setelah hujan lebat tanpa henti lebih dari tiga jam.
"Habis semuanya dinaiki air sehingga paras pinggul.
"Kami yang tinggal di kawasan rendah lebih teruk terjejas kerana banjir berlaku terlalu pantas," katanya yang tidak menyangka tragedi 10 tahun lalu berulang kembali.
Menurutnya, banjir hanya mula surut jam 5 petang tadi dan penduduk secara beransur-ansur kembali ke rumah masing-masing.
Ketua Kampung, Hasnin Hussin, 57, berkata, setakat ini hanya satu PPS dibuka di Kampung Pasir bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang terjejas.
Katanya, dua keluarga terdiri daripada sembilan orang termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di tempatkan di PPS tersebut.
"Selebihnya mereka sudah pulang ke rumah setelah air surut dan yakin banjir tidak akan berlaku lagi.
"Namun, kita tetap memastikan penduduk agar terus berwaspada kerana sehingga kini masih hujan renyai dan paras air Sungai Kerling belum surut sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang turun ke Kerling bersama jentera parti terus ke PPS menyampaikan sumbangan lebih 50 lampu pengecasan semula, lampu suluh dan lampu kecemasan untuk kegunaan petugas di kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penduduk yang terjejas banjir.
Selain itu, beliau turut menyerahkan sumbangan makanan ringan berserta air minuman kepada semua mangsa.
"Difahamkan bekalan elektrik terpaksa diputuskan bagi mengelak sebarang kemungkinan akibat banjir, namun ramai penduduk yang mengeluh kerana gelap dan takut untuk kembali ke rumah.
"Saya datang bersama pasukan perubatan dan peralatan kelengkapan kecemasan untuk mangsa banjir.
"Lampu-lampu yang kita berikan boleh digunakan untuk tempoh tertentu dan boleh dicas semula jika bekalan elektrik kembali pulih. Saya berikan semuanya untuk penduduk yang terjejas," katanya.
-- WIDE TV
0 Ulasan