amrullah@semarakniaga.com.my
RASA, HULU SELANGOR - DITAWARKAN bayaran lebih RM11,000 asalkan dapat mengalihkan undi kepada seorang calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor pada pemilihan parti yang berlangsung ketika ini.
Itu pendedahan dibuat seorang ahli PKR selepas didatangi individu dikenalinya yang dipercayai memegang jawatan sebagai pegawai khas kepada wakil rakyat di kawasan ini semalam.
N Soundrarajan Mariappan, 59, berkata, dia didatangi individu terbabit di kedai gunting rambut yang diusahakannya di Jalan Kuala Kali di sini pada jam 5 petang semalam sambil menawarkan habuan tersebut.
"Beliau meminta saya supaya memberitahu semua ahli di bawah saya supaya mengundi YB (Yang Berhormat) pada pemilihan cabang PKR yang bermula 18 hingga 21 Mei ini.
"Beliau juga memberitahu akan memberi wang seorang RM50 kepada ahli saya jika mengundi YB dan saya juga akan diberikan wang sebanyak RM1,000 jika ahli saya mengundi YB.
"Beliau juga ada memberitahu saya jika saya berjaya memanggil lima orang lagi ketua ahli, saya akan terima ganjaran sebanyak RM1,000 bagi setiap orang yang mengikuti saya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Rasa hari ini.
Soundrarajan dengan lantang tidak bersetuju dengan tawaran diberikan kerana baginya tindakan pegawai khas tersebut amat memalukan dan telah mencemarkan imej parti.
Menurut Soundrarajan, beliau mempunyai ramai ahli PKR berdaftar dan berada di bawah pimpinannya.
"Saya ada 110 orang ahli berdaftar di bawah saya. Mereka ini setia bersama saya dan tidak mudah dibayar macam begitu.
"Tapi saya akui sudah ada kawan-kawan yang terima tawaran itu dan mereka sudah 'left group' (keluar dari kumpulan whatsapp) parti," katanya sambil mengakui tidak mampu menghalang tindakan mereka untuk beralih sokongan.
PKR Cabang Hulu Selangor menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi merebut kerusi Ketua Cabang di antara Dr Sathia Prakash Nadarajan, Datuk Azizan Zakaria dan June Leow Hsiad Hui.
Pemilihan PKR Hulu Selangor kali ini dianggap paling mencuri tumpuan kerana menampilkan calon-calon yang professional dan berkalibar.
-- WIDE TV
0 Ulasan