amrullah@semarakniaga.com.my
SERENDAH - KESAL dan kecewa antara perasaan yang tergambar dalam diri calon Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila melihat keadaan Hulu Selangor yang masih jauh 'ketinggalan' dari pelbagai aspek pembangunan.
Malathi K Rajandran, 49, menganggap kelembapan pembangunan menyebabkan rakyat tidak ada pilihan selain keluar mendapatkan keperluan yang gagal disediakan sejak sekian lama.
Menurutnya, agak malu bila melihat keadaan tersebut masih tidak mampu diubah walaupun ramai pemimpin lantang melaungkan perubahan yang kononnya akan dilaksanakan jika 'menang'.
"Saya kecewa melihat keadaan Hulu Selangor semakin tertinggal.
"Saya yang bertugas lebih 30 tahun dalam bidang perubatan sehingga kini masih tidak dapat nampak kemudahan (rawatan) yang lengkap di hospital kerajaan.
"Rakyat masih terpaksa mendapatkan rawatan pakar di hospital luar. Ini jelas menyusahkan rakyat," katanya.
Selain kekurangan itu, Malathi turut memandang serius isu pembelaan terhadap golongan wanita terutama ibu tunggal di daerah ini.
Menurutnya, banyak kemudahan yang dijanjikan untuk wanita namun persoalannya adakah semua itu sampai kepada golongan sasar.
"Kalau kita tengok wanita Hulu Selangor masih ramai yang tercicir daripada menerima bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
"Mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sedangkan hasil daripada penelitian kita mereka sememangnya layak diberikan bantuan," katanya.
Justeru, atas dasar tanggungjawab Malathi meletakkan dirinya untuk menjadi sebahagian penggerak dalam melaksanakan perubahan yang diharapkan rakyat di daerah ini.
Beliau berkata, langkahnya menyahut seruan pucuk pimpinan parti untuk bertanding akan menjadi titik tolak kepada perubahan tersebut.
-- WIDE TV
0 Ulasan