amrullah@semarakniaga.com.my
BUKIT BERUNTUNG - PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor dibatalkan berikutan kegagalan pihak 'care tacker' menyediakan kemudahan logistik.
Kegagalan menyediakan kemudahan dan keperluan pengundian seperti meja, kerusi dan komputer secukupnya untuk kegunaan dalam proses pengundian menyebabkan pengundi yang hadir sejak awal pagi tadi tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka.
Pengumuman pembatalan itu dibuat Jurucakap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) merangkap Koordinator Negeri, Mazli Saring selepas mengadakan perbincangan bersama ketiga-tiga calon Ketua Cabang PKR Hulu Selangor di pusat pengundian di Bukit Beruntung Golf & Country Resort di sini.
Calon Timbalan Ketua Wanita, Datin Faezah Ariffin berkata, kegagalan itu sekaligus membuktikan kelemahan dan kepincangan 'care tacker' diketuai bekas ketua PKR cabang Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui.
"Care tacker gagal menyediakan logistik dan ini menjadi satu bentuk penghinaan terhadap parti PKR.
"Ini bukan salah PKR tapi kelemahan bekas ketua cabang Hulu Selangor," katanya.
Beliau turut mendakwa wujud unsur sabotaj dalam pemilihan parti kali ini dan jika dakwaan itu benar, pihak terbabit wajar dikenakan tindakan tegas.
Sementara itu, calon Timbalan Ketua Cabang Hulu Selangor, Saifudin Shafi Muhammad berkata, 'care tacker' perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan pemilihan kali ini.
"Kita menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) supaya membuat pengiraan undi atas talian saja (tidak perlu pengundian secara fizikal diadakan semula).
"Sekiranya pengundian secara atas talian diiadakan, June Leow patut disqualified (gugur kelayakan bertanding)," katanya.
-- WIDE TV
0 Ulasan