amrullah@semarakniaga.com
HULU BERNAM – PENYOKONG Dr Sathia Prakash Nadarajan bersorak riuh dengan laungan "reformasi" di perkarangan Dewan Kalumpang sebaik susuk tubuh calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor itu keluar dari dalam Pusat Pengundian.
Sorakan itu disambut tenang Dr Sathia dengan raut wajah senyum namun tanpa sebarang ungkapan kata-kata.
"Shhhhhhhhhh...!" (sambil jari telunjuk ditekap di bibirnya).
Hanya itu yang mampu dilakukan Dr Sathia setelah reaksinya tenggelam dengan sorakan ratusan penyokongnya.
Bagaimanapun, sorakan itu bukan penentu kemenangan muktamad bagi Dr Sathia kerana belum ada keputusan rasmi dikeluarkan pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Keputusan rasmi pengundian PKR Cabang Hulu Selangor hanya boleh diketahui jam 12 tengah malam nanti.
Sementara itu, berdasarkan reaksi calon ketua cabang nombor dua, Datuk Azizan Zakaria sebaik keluar dari pusat pengundian, turut memberi gambaran positif kepada kemenangan rakan seterunya, Dr Sathia.
Calon nombor tiga, June Leow Hsiad Hui kelihatan keluar dari dewan pengundian selepas semua penyokong-penyokong calon bersurai.
Dalam pada itu, menurut sumber, jumlah keseluruhan pengundi yang keluar mengundi pada hari ini seramai 1,367 dan jumlah mejoriti memihak kepada Dr Sathia.
Hulu Selangor mencatat sejarah tersendiri dalam proses pemilihan 2022 kerana terpaksa ditangguhkan pada 21 Mei lalu dan ditunda kepada 28 Mei.
Dalam tempoh itu pula, pusat pengundian berubah sebanyaj tiga kali di mana pertama di Bukit Beruntung Golf & Country Resort, kedua di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam dan terakhir di Dewan Orang Ramai Kalumpang.
-- WIDE TV
0 Ulasan