amrullah@semarakniaga.com.my
RASA, HULU SELANGOR - LEBIH 10 tahun derita penyakit saraf dan diabetis dialami Norsheela Ab Hamid, 44, sehingga membataskan pergerakannya.
Lebih menyedihkan, Norsheela yang tinggal berdua bersama suaminya, Fair Umar, 57, di Taman Rasa Utama tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib lebih-lebih lagi pemimpin tempatan.
Kesan penyakit dialami turur menyebabkan pergerakan Norsheela terbatas dan memerlukan bantuan kerusi roda.
Malangnya, permohonan mendapatkan bantuan kerusi roda sejak lebih tiga tahun lalu tidak pernah dipenuhi oleh pihak yang berkenaan.
"Sudah tiga tahun keadaan saya begini tidak dapat bergerak seperti biasa sebab itu mohon bantuan kerusi roda tapi tak pernah dapat.
"Mereka kata saya tidak ada tanggungan besar sebab itu sukar untuk dapatkan bantuan," katanya ketika ditemui Wide TV di rumahnya di Taman Rasa Utama.
Menurut Norsheela, dia merupakan penerima bantuan bulanan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400 sebulan dan hanya sumber itu sahaja dapat digunakan untuk membeli keperluan harian termasuk ubat-ubatan.
Bagaimanapun, Norsheela bersyukur dengan kehadiran Pengerusi Kumpulan Klinik SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang datang secara mengejut dan terus menyumbangkan kerusi roda kepadanya.
Mengakui dirinya terkejut, namun Norsheela terharu kerana bantuan diharapkan selama ini akhirnya tertunai.
"Bersyukur sangat-sangat kepada Allah.
"Terkejut sebab semua ini rezeki bagi saya.
"Inilah peluang saya dapat kali pertama dan dapatlah memudahkan pergerakan saya selepas ini," katanya.
Menurut Norsheela, dia hanya mengenali Dr Sathia sebagai seorang doktor, namun lebih dari itu Dr Sathia adalah seorang yang prihatin dan tahu mengenai keperluan insan sepertinya.
-- WIDE TV
0 Ulasan