Meri (berdiri, tengah) bersama calon Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan (berdiri, dua kiri) sambil beramah mesra dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com
Golongan itu amat jarang diketengahkan dan diletakkan sebagai pemimpin sesebuah organisasi lebih-lebih lagi parti politik.
Namun, bagi calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan beliau meletakkan kepercayaan dan tanggungjawab kepada Meri Liew Pong, 36, di dalam barisan kepimpinannya.
Meri merupakan orang asli dari suku Temuan dan berasal dari Kampung Orang Asli Gurney, Hulu Yam.
Beliau diberi tanggungjawab menjadi calon Naib Ketua Wanita PKR Cabang sebaris dengan calon pemimpin daripada kalangan Melayu, Cina dan India.
Meri berkata, meletakkan diri sebagai calon sememangnya menjadi cabaran baru baginya, namun beliau tekad menggalas amanah itu demi membawa perubahan yang diharapkan oleh masyarakat orang asli.
“Bila diberi peluang (menjadi calon) saya akui rasa terkejut, macam tak percaya. Tapi saya cuba yang terbaik sebab saya nak membela nasib masyaralat orang asli.
“Saya ingin membela nasib mereka. Bila saya bercampur dengan mereka banyak yang disuarakan tetapi malangnya apa yang berlaku selama ini suara orang asli selalu tidak diendahkan.
“Itu yang membuat saya rasa semangat dan mahu perjuangkan sebab sampai bila harus dibiarkan keadaan itu,” katanya.
Meri berkata, ketiadaan latar belakang politik sedikitpun tidak menjejaskan hasratnya untuk terus berjuang kerana sokongan yang diterima daripada pemimpin atasan termasuk penduduk kampung orang asli sendiri akan digunakan sebagai penguat semangat.
“Pada mulanya memang merasa takut sebab saya seorang yang bukan berlatarbelakang politik.
“Tapi bila diberi nasihat dan disokong oleh sebilangan besar orang asli saya rasa bersemangat untuk menyuarakan hak-hak mereka.
“Sebabnya orang asli ni dia takut untuk kemukakan apa yang mereka nak suarakan, mereka segan sebab kadang-kadang tidak dilayan.
Sementara itu, pejuang orang asli yang telah lama berada dalam PKR, Ibrahim Mohamad, 52, berkata, masyarakat orang asli sebenarnya telah celik politik namun jarang sekali diberi ruang untuk bersuara di pentas parti.
Menurutnya, peluang yang diberikan kepada Meri bakal menjadi ukuran kemampuan mereka untuk melontarkan suara komuniti peribumi itu seterusnya membela nasib mereka.
“Inilah peluang kami untuk menunjukkan kepada parti lain sebenarnya orang asli sudah mulai celik dalam bidang politik dan satu-satunnya jalan untuk semua 16 perkampungan orang asli di Hulu Selangor ini melihat serta merujuk apa masalah mereka adalah melalui Naib Ketua Wanita PKR Cabang, Meri Liew Pong.
“Sekiranya kami tiada wakil di cabang Hulu Selangor, bagaimana kami nak rujuk sebarang masalah yang kami hadapi?
“Sebagimana yang lepas-lepas kalau kami hantar surat tu hanya dicampak dalam tong sampah,” katanya.
Menurut Ibrahim, sehingga kini belum ada mana-mana parti politik di Hulu Selangor yang meletakkan calon atau pemimpin mereka dari kalangan orang asli kecuali PKR.
Ujarnya, ini adalah tahun bertuah bagi masyarakat orang asli dari suku Temuan di Hulu Selangor kerana PKR memilih dan meletakkan seorang wanita bertanding dalam pemilihan cabang.
“Ini adalah satu-satunnya peluang untuk membuka mata semua masyarakat bererti orang asli sudah bijak dan pandai dalam politik.
“Selama ini, kebanyakan orang asli kecewa sebab surat-surat mereka tidak dilayan dan dibalas, permintaan dan permohonan mereka tidak ditunaikan, malahan hampir semua perkara yang disuarakan oleh orang asli biasanya tidak dipandang,” jelasnya.
-- WIDE TV
0 Ulasan