3 beranak tinggal sehelai sepinggang

 

Dr Sathia (kanan) menenangkan Valaphone yang masih bersedih dengan kejadian kebakaran memusnahkan kediaman mereka sambil ditemani Tam Poh Thiam.

AMRULLAH ABDUL KARIM 
amrullah@semarakniaga.com.my 

HULU YAM - TIGA beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Chik, Hulu Yam Baru di sini, petang semalam.

Kejadian jam 1 petang itu berlaku tidak sampai 30 minit selepas keluarga itu keluar pergi ke kedai memandangkan ketika itu bekalan elektrik terputus.

Tam Poh Thiam, 41, isteri, Valaphone, 39, dan anak mereka berusia tiga tahun terkejut apabila mendapat panggilan daripada adiknya mengatakan rumah mereka terbakar.

Tam Poh Thiam melihat rangka motosikal yang baru dibelinya rentung dalam kebakaran itu.

Poh Thiam yang bergegas pulang mendapati rumahnya sudah diselubungi api yang marak.

"Kami sampai saja bomba sudah ada padam api dan tidak ada apa yang mampu dilakukan.

"Hanya tengok depan mata api membakar rumah kami," katanya.

Menurut Poh Thiam, punca kebakaran masih tidak diketahui kerana semasa kejadian tiada bekalan elektrik dan mereka terpaksa keluar disebabkan cuaca panas.

Katanya, kebakaran itu turut memusnahkan dua buah motosikal di mana satu daripadanya baru sahaja dibeli.

Ujarnya, jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM200,000.

Sementara itu, jiran mangsa, Logambal Krisnasami 63, ketika ditemui berkata, dia keluar selepas terdengar bunyi bising dan letupan dari depan rumahnya.

"Saya dalam bilik dengar bunyi banyak kuat.

"Tapi kami jiran pun tak bole buat apa sebab api terlalu kuat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang simpati dengan nasib keluarga mangsa turun melihat sendiri keadaan mereka sambil menghulurkan bantuan.

Menurut beliau, mangsa ketika ini terpaksa menumpang di rumah adiknya tidak jauh dari kawasan itu.

"Rumah musnah 100 peratus namun kita bersyukur tiga beranak ini selamat kerana ketika kejadian kebetulan mereka keluar dan masa itu tiada bekalan elektrik.

"Saya datang bagi melihat sendiri keadaan mereka dan menghulurkan sedikit bantuan," katanya.

Dr Sathia turut mengajak rakyat Hulu Selangor yang prihatin untuk sama-sama membantu mangsa dengan menghulurkan sumbangan terus ke akaun bank CIMB - 7016309130, Tan Poh Thiam bagi meringankan beban ditanggung mangsa.

Jelas beliau Dr Sathia lagi, pada masa akan datang perlu ada sistem yang lebih efisyen, pantas dan strategik untuk mengurus bencana dan mangsa kebakaran seperti itu.

-- WIDE TV

Catat Ulasan

0 Ulasan