Pemuda Bernam Jaya bantu keluarga Hazlami

 

Hazlami (tengah) menerima sumbangan lampin pakai buang dan susu formula daripada Pemuda Bernam Jaya. 

AMRULLAH ABDUL KARIM
amrullah@semarakniaga.com.my

HULU BERNAM - TIGA bulan tidak bekerja selepas kontrak sebagai pengawal keselamatan berakhir Mac lalu membuatkan Mohd Nur Hazlami Mokhtar, 35, hilang punca pendapatan.

Biarpun dihadirkan rezeki cahaya mata kedua yang lahir pada malam takbir hari raya Aidilfitri 2 May lalu, Hazlami akui kehidupannya tidak semudah dilalui sebelum ini.

Malahan, dia dan isteri, Norfarahana Ahmad Sahar, 26, memerlukan bantuan bagi meringankan beban ditanggung keluarganya.

"Selepas diberhentikan kerja saya langsung tidak ada sumber pendapatan tetap dan hanya usaha cari pucuk paku, pucuk ubi untuk dijual, meracun dan menebas kebun orang.

"Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada bagi bantuan tapi hanya untuk bayaran tunggakan sewa dab sewa bulanan rumah.

"Lain-lain bantuan untuk keperluan harian dan bulanan memang tidak ada," katanya.

Bagaimanapun, pertemuan Hazlami dengan Pemuda Bernam Jaya ketika membuat pemeriksaan bayinya di Klinik Kesihatan Kalumpang semalam seakan memberi sinar baru buat dirinya dan keluarga.

Menurutnya, Pemuda Bernam Jaya hadir dengan memberikan sumbangan lampin pakai buang dan susu formula untuk kedua-dua anaknya yang masih kecil.

"Bila dapat sumbangan ni, ringanlah sedikit beban saya.

"Memang syukur Alhamdulillah mereka datang jumpa kami sekeluarga dan bagi sumbangan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bernam Jaya, S Saravanan, 30, berkata, mereka terpanggil untuk membantu keluarga Hazlami setelah melihat sendiri kesukaran hidup yang dialami selepas ditamatkan perkhidmatan.

Menurutnya, Hazlami bukanlah orang asing baginya kerana sudah mengenalinya sejak menetap di dalam Kalumpang Estate.

"Kami sudah lama tidak berjumpa dan bila melihat keadaannya begini saya bersimpati dan merasakan mereka perlu dibantu.

"Hasil inisiatif semua pemuda kami buat kutipan sumbangan peribadi untuk membeli lampin dan susu bayi," katanya.

Selain itu, Saravanan turut berusaha mendapatkan pekerjaan untuk Hazlami di sekitar kawasan Hulu Bernam dan Tanjung Malim bagi menjamin kelangsungan hidup mereka.

-- WIDE TV

Catat Ulasan

0 Ulasan