amrullah@semarakniaga.com
KUALA KUBU BHARU – PENDAFTARAN kempen derma darah di Dewan Orang Ramai, Kampung Asam Kumbang di sini, terpaksa dihentikan seketika kerana jumlah penderma melebihi sasaran ditetapkan.
Itu tindakan yang terpaksa diambil Kelab Muhibbah Kuala Kubu Bharu penganjur Kempen Derma Darah di dewan tersebut setelah menerima jumlah kehadiran penduduk kawasan itu lebih daripada sasaran yang telah ditetapkan.
Difahamkan, sasaran awal penganjur hanya sekitar 50 hingga 60 penderma dalam tempoh tujuh jam kempen itu dilaksanakan di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, dalam tempoh kurang dua jam pendaftaran penderma darah telah mencecah 50 orang.
Biarpun kedengaran positif kerana sememangnya kempen seumpama itu memerlukan penderma darah yang ramai, namun disebabkan faktor tertentu maka keputusan seumpama itu wajar diambil.
Kempen derma darah itu mendapat sambutan diluar jangkaan apabila menerima perdaftaran lebih dari sasaran iaitu sebanyak 128 orang.
Seramai 108 penderma selesai menderma darah manakala 20 lagi tidak layak menderma.
Pengerusi Pertubuhan Bersatu Menuju Wawasan Pembangunan dan Kebajikan (BMW) Hulu Selangor, M Sundaraj berkata, pihaknya aktif menggerakkan kempen derma darah bersama Pusat Darah Negara (PDN).
Menurutnya, selain BMW terdapat beberapa NGO lain yang turut terlibat dalam menjayakan kempen tersebut.
“Sudah hampir 20 tempat kita adakan kempen derma darah ini dengan kerjasama pemimpin tempatan dan NGO tempatan lain.
“Fokus kita untuk penderma dari kalangan warga Hulu Selangor di kawasan Batang Kali, Kuala Kubu Bharu dan Bukit Beruntung.
“Justeru, saya mengalu-alukan penyertaan dari semua masyarakat Hulu Selangor kerana menderma darah ini bukansaja untuk selamatkan diri orang lain, pada masa yang sama kita dapat tahu di mana kedudukan kesihatan kita terutamanya darah kita,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Chinniah berkata, pihaknya akan sentiasa menyokong dan menggalakkan kempen seumpama itu bagi membantu PDN.
Beliau juga berharap usaha itu dapat dilaksanakan oleh Ahli Majlis MPHS yang lain di kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan ketika hadir ke kempen tersebut berkata, kempen tersebut perlu sentiasa dilaksanakan dan diperluaskan bagi membantu PDN.
Katanya, inilah antara cara untuk membantu mereka yang memerlukan dengan menderma darah di PDN.
“Saya juga ingin mengajak rakyat daerah ini untuk menyokong kempen seumpama ini.
“Bersempena Sambutan Hari Derma Darah Sedunia yang disambut hari ini, saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang bermurah hati menderma ke PDN.
“Datanglah ke Pusat Pendermaan Darah Statik bagi melakukan derma darah secara berterusan,” katanya.
-- WIDE TV
0 Ulasan